JAIM lanjutkan penangguhan kelas pengajian agama

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH, 8 Jan – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini melanjutkan penangguhan kelas pengajian agama di masjid dan surau seluruh Melaka hingga 15 Januari depan.

Sebelum ini, penangguhan itu berjalan dari 4 Januari lalu hingga hari ini tetapi terpaksa dilanjutkan selama seminggu lagi berikutan peningkatan kes COVID-19 sejak minggu lalu.

Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat dalam kenyataannya berkata, aktiviti itu membabitkan ceramah, forum, kurus, kelas takmir, kelas pengajian selepas solat Maghrib, kuliah Subuh, kuliah dhuha, qiamullail, pengajian al-Quran dan program khas.

Bagaimanapun, solat fardu berjemaah masih dibenarkan, selain solat Jumaat, solat jenazah, majlis pernikahan, musafir singgah untuk solat dan bacaan surah Yasin serta tahlil selepas solat Maghrib pada Khamis ini tetapi ia hanya boleh dihadiri anak kariah.

“Bagi aktiviti yang dibenarkan, jawatankuasa masjid dan surau harus memastikan jemaah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), terutama memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Jemaah ditegah bersalaman semasa dan selepas aktiviti dan jawatankuasa masjid dan surau perlu menyediakan sistem pendaftaran dan tapisan suhu badan setiap jemaah,” katanya.

Individu yang tidak dibenarkan hadir adalah yang bergejala seperti batuk, demam, sakit tekak dan yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin serta warganegara asing serta kanak-kanak berusia kurang 12 tahun.

Semalam sebanyak 11 kes positif COVID-19 dicatatkan di negeri ini, iaitu enam kes tempatan dan lima kes import.

Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam kenyataannya berkata, daerah yang terbabit ialah Masjid Tanah, Jasin dan Alor Gajah dan dua kes dikategorikan sebagai Kluster Anak Air.

Sebanyak 480 pesakit COVID-19 masih dirawat di Hospital Melaka dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Lima kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Kelmarin, sebanyak 13 kes positif COVID-19 dicatatkan dengan kluster Anak Air dicatatkan di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Views:

1345
Kongsi :
Previous post COVID-19: PM buat pengumuman khas Isnin ini- Ismail Sabri
Next post Terjun dari tingkat 18: Pelajar universiti dipercayai bunuh diri akibat cemburu
Ubah saiz-+=