JAIM perlu bantu sekolah tahfiz, pondok daftar institusi – KM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

RIM 7 Jun – Kerajaan negeri meminta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) membantu mendaftarkan Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di negeri ini yang masih belum berdaftar bagi memudahkan urusan pihak institut berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini terdapat sebanyak 115 IPIS yang ada di Melaka yang mana 28 telah berdaftar, 73 dalam proses kelulusan dan satu dalam proses pendaftaran.

“Kalau belum daftar kita arahkan daftar, sebab kita mudah nak bagi bantuan…saya minta pihak JAIM jangan cari salah kalau sekolah pondok atau tahfiz yang belum daftar, cuba bantu daftarkan sekolah tersebut dahulu.

“Kita tidak mahu mencari salah mereka buat masa ini, kita minta semua sekolah pondok atau tahfiz daftar segera supaya guru-guru sekolah mereka ini mudah untuk kita kenal pasti.

“Jumlah di bawah IPIS ada sebanyak 115, yang berdaftar penuh ada 28, dalam proses kelulusan 73 institusi, dalam proses daftar hanya satu institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina dan Menyiapkan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah Jasin di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JAIM, Datuk Che Shukri Che Mat berkata setakat ini terdapat seramai 500 pelajar IPIS di Negeri Melaka.

“Untuk makluman semua kita fokuskan kepada sekolah tahfiz swasta, sekolah rendah Islam swasta dan sekolah menengah Islam swasta untuk cari jalan bantu mereka, setakat ini anggaran terdapat 500 pelajar IPIS di negeri Melaka.

“Kita berusaha membantu sekolah-sekolah tahfiz yang belum berdaftar seperti disarankan kerajaan negeri, 21 Jun ini semua IPIS di Melaka dipanggil untuk membuat kolokium khas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1387
Kongsi :
Previous post Kaji keperluan naik taraf Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sebagai pihak berkuasa – Khairy
Next post Abang sedia berkorban besarkan adik-adik
Ubah saiz-+=