
JALUR GEMILANG TERBALIK: POLIS TAHAN PEMILIK PREMIS
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di sekitar kawasan di sini malam tadi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang esok dengan cadangan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat ini polis telah menerima 16 laporan berhubung kejadian itu dengan 12 daripadanya dibuat di negeri ini manakala empat lagi laporan di luar Pulau Pinang.
Mohd Alwi berkata pihaknya memandang serius perbuatan seumpama itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukannya, sambil mengingatkan orang ramai agar menghormati Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara.
Semalam tular melalui media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di sini, yang seperti sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman warganet.
Berikutan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.