WhatsApp Image 2021-11-28 at 12.07.27 PM

Jangan bimbang status halal ayam import – Ronald

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Orang ramai tidak perlu bimbang mengenai status halal bekalan ayam diimport dari luar negara bermula bulan ini kerana kerajaan hanya mengambil bekalan daripada loji pengeluar diiktiraf oleh tiga agensi yang memantau dan mengeluarkan sijil halal.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata tiga agensi berkenaan ialah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tiga agensi ini yang memantau dan mengeluarkan sijil pengiktirafan kepada loji pengeluar dari luar negara, semua pengimportan ayam hanya dibenarkan daripada loji-loji diiktiraf dari segi kesihatan, dan sijil halal.

“Kita dah mengimport ayam sejak sekian lama, kita mengimport ayam dari loji-loji diiktiraf oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Ke-36 di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan untuk mengimport ayam adalah bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ayam tempatan yang mana pemerhatian kerajaan mendapati negara menghadapi masalah kekurangan bekalan ayam dalam tempoh beberapa bulan lepas.

Ronald berkata inisiatif berkenaan hanya dijalankan buat sementara waktu dan akan dihentikan sebaik bekalan ayam di pasaran mencukupi.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini hingga Feb 2022 bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran melibatkan pertimbangan import hingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

Terdahulu, pada majlis berkenaan beliau menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang NEKMAT kepada enam pelajar dibawah Persatuan Nelayan Negeri dan Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) daripada beberapa institusi pengajian tinggi. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

49
WhatsApp Image 2021-12-07 at 2.45.45 PM Previous post Khidmat marsyal perlu kelulusan polis – Timbalan KPN
parti sarawak bersatu Next post PRN Sarawak: Manifesto PSB diumum Khamis ini – Presiden parti