Jangan lalai meskipun SOP dilonggarkan – Razali

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 25 Mac – Polis Melaka akan melaksanakan penguatkuasaan mengikut perincian ditetapkan selepas permulaan Fasa Peralihan Endemik COVID-19 meskipun beberapa prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan bermula 1 April nanti.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata beberapa SOP seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam masih perlu dipatuhi.

Katanya, perincian mengenai SOP baharu pada fasa itu belum dimuktamadkan secara terperinci namun pihaknya sedia untuk melaksanakan penguatkuasaan berdasarkan arahan terkini dikeluarkan.

“SOP (yang akan) dibentangkan berbeza daripada dahulu, jadi barisan penguat kuasa akan turut bersama-sama bersiap siaga.

“Apa yang penting kesihatan rakyat terpelihara walaupun diberi banyak kelonggaran,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Peringatan Polis ke-215 di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk melakukan penilaian risiko selain mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Terdahulu pada majlis sama, Razali turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 51 pegawai dan anggota serta orang awam.

Penghargaan itu bagi menghargai komitmen selain kerjasama diberikan dalam usaha membanteras aktiviti jenayah di negeri ini.

Seorang Inspektor dan seorang Koperal antara yang menerima sijil penghargaan daripada Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kerana menolak rasuah ketika dalam penugasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1006
Kongsi :
Previous post COVID: Hanya 152 kes baharu kategori tiga hingga lima
Next post Polis Melaka, KKM dan MKN bincang penguatkuasaan SOP bazar Ramadan, Aidilfitri
Ubah saiz-+=