Jangan malu jika terlanjur – Latipah

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 5 Nov. – Isu pembuangan bayi yang berlaku di negeri ini perlu diberi perhatian serius sedangkan pelbagai perkhidmatan disediakan bagi memberi perlindungan kepada pasangan terlanjur dan luar nikah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Wira Latipah Omar berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan kejam tersebut disebabkan terdapat pelbagai agensi bersedia membantu mereka untuk mengekang isu pembuangan bayi di Melaka.

Katanya, pelbagai saluran disediakan melindungi golongan itu terutama melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), malah Sekolah Harapan di Jasin turut siap-siaga membantu golongan terbabit.

“Kerajaan telah menyediakan tempat untuk melindungi bayi dan ibu bayi terutama remaja hamil luar nikah dan kita menasihatkan golongan ini tidak mengulangi kejadian menyayat hati ini.

“Bagaimanapun setakat ini hanya dua remaja perempuan mengandung saja yang menghuni tempat terbabit berbanding sebelum ini pernah meletakkan lebih 10 remaja di rumah perlindungan berkenaan.

“Kita memandang serius pembuangan yang dilaporkan dan insiden semalam itu tidak seharusnya berlaku,” tegasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, peranan keluarga terutama ibu bapa terbabit dalam perkara berkenaan seharusnya memain peranan dan memberi sokongan moral buat anak yang terlanjur dengan menghantar ke pusat tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan sedaya upaya memperkasa peranan perkhidmatan pusat itu bagi membendung isu pembuangan bayi dan masalah sosial berlaku di negeri ini.

“Buanglah rasa malu, anak-anak memerlukan sokongan moral keluarga dan jangan sesekali mengabaikan mereka”, katanya.

Terdahulu, MHI melaporkan penemuan seorang bayi yang masih berdarah dan dihurung semut ditinggalkan di dalam semak telah ditemui penduduk di Jalan Sidang Hassan, Bukit Katil, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Latipah berkata, setakat ini bayi malang tersebut masih ditempatkan di wad nurseri, Hospital Melaka, bagaimanapun masih tiada perkembangan lanjut menjejaki warisnya.

“Bayi itu akan diletakkan di bawah penjagaan JKM sekiranya tiada waris yang bertanggungjawab untuk tampil,”katanya.

Views:

2413
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021: KM harap pemulihan pelancongan, pembuangan pekerja ditekankan
Next post Menangis lihat artifak Rasulullah SAW
Ubah saiz-+=