JaPen Melaka hangatkan kempen promosi Hari Malaysia di Melaka

Masa Membaca:3 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 9 September – Bahang sambutan Hari Malaysia 2022 yang akan disambut di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir dengan pelbagai persiapan dilakukan agensi Kerajaan Negeri yang terlibat.

Antara yang menjayakan sambutan itu ialah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Melaka yang bertanggungjawab membuat hebahan dan mempromosikan sambutan itu kepada rakyat negeri ini.

Pengarah JaPen Negeri Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dari segi pemasaran dan promosi publisiti menerusi pelbagai platform termasuk hebahan fizikal dan secara dalam talian.

Menurutnya, sebanyak 610 gegantung (bunting) telah dipasang di seluruh negeri, selain promosi menerusi papan iklan dan kain rentang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.

Pada masa sama, katanyanya, hebahan secara bergerak menerusi ‘Info On Wheels’ (IOW) turut diperkasakan di setiap daerah secara berkala menjelang sambutan pada 16 September itu nanti.

“Malah IOW ini akan lebih kerap dilaksanakan dua tiga hari sebelum sambutan dengan hebahan tertumpu di sekitar kediaman penduduk membabitkan taman perumahan dan kawasan kampung.

“Selain itu, pendekatan menggunakan rakan strategik JaPen Melaka turut diperkasakan termasuk kerjasama 84 buah Komuniti Keluarga Malaysia di negeri ini yang bersama menjalankan ajen publisiti menerusi aplikasi Whatsapp, Facebook, Twitter dan pelbagai lagi,” katanya pada wawancara khas bersama pemberita di pejabatnya.

PERTAMA KALI DI SEMENANJUNG

Dalam perkembangan lain, Shahrom turut berkongsi sambutan yang bakal dibanjiri lebih 20,000 pengunjung itu merupakan penganjuran pertama di negeri ini selepas diadakan secara bergilir di Sabah dan Sarawak.

Katanya, julung kalinya tahun ini kelainan baharu ditampilkan apabila Melaka menjadi tuan rumah pertama di Semenanjung bagi sambutan memperingati pembentukan Malaysia yang menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah itu.

“Pemilihan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di negeri ini sebagai lokasi Sambutan Hari Malaysia juga telah mengimbau kembali peristiwa bersejarah di mana tapak ini menjadi saksi sejarah negara apabila Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada Ogos 1957.

“Detik ini menjadi titik permulaan kepada penubuhan Malaysia yang kita cintai ini, pada 16 September 1963.

“Pemilihan Melaka sebagai negeri unik dan istimewa juga dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka di mana negeri ini anyak meninggalkan pelbagai kesan warisan sosiopolitik dalam sistem pemerintahan negara kita.

“Sejarah juga telah mencatatkan bahawa negeri Melaka telah menjadi persinggahan kepada para pedagang dari seluruh dunia dan pada tahun 2008 Negeri Melaka telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandar Warisan Dunia.

KEMBALIKAN NOSTALGIA

Shahrom turut menyarankan kepada pengunjung yang memeriahkan acara itu digalakkan memakai pakaian bertemakan 60-an bagi mengembalikan nostalgia ambang kemerdekaan negara disambut pada zaman dahulu.

Jelasnya, program yang diadakan itu akan disempurnakan Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dengan dihadiri tetamu kehormat iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Premier Sawarak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

“Majlis ini akan bermula pada pukul 8 malam dimulakan dengan ketibaan beca berhias, vespa dan basikal tua diiringi lagu-lagu era 60-an bergerak menuju ke pentas utama dengan iringan Pancaragam Henry Gurney.

“Ia diikuti dengan lafaz ikrar Rukun Negara dilafazkan oleh Tokoh Budaya Negeri Melaka dan Tokoh Guru, Abd. Rani Embi diiiringi 14 orang keluarga Malaysia mewakili kepelbagaian kaum dan etnik di Malaysia

“Pada malam itu program akan diteruskan dengan persembahan pembukaan Catatan Malaysia menggunakan naratif penceritaan dengan persembahan gerak, visual dan narator yang menunjukkan sejarah pembentukan negara,” katanya.

Beliau berkata, acara utama dalam penganjuran itu ialah simbolik Menandatangani Buku Watikah Pengisytiharan ditandatangani oleh Ketua Menteri dari ketiga-tiga negeri disaksikan Tun Mohd Ali dan Ismail Sabri.

“Selain itu, program diteruskan dengan persembahan khas dartis tanah air antaranya “Dari Robohan Kota Melaka, Kita Dirikan Negara Merdeka” yang dibahagikan kepada empat segmen iaitu segmen Pahlawan Bangkit “Bahang Nasionalisme Tanah Air Kita, Jejak Merdeka, Malaysia Kita dan Teguh Banjaran Titiwangsa.

“Antara artis tanah air yang mewarnai malam itu adalah penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Ernie Zakri, Jimmy Palikat, Anding, Iwere, Kenny Lee dan Radhi P.Ramlee serta pelbagai lagi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sambutan itu akan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform termasuk semua stesen televisyen tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2233
Kongsi :
Previous post Bank Negara naikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus
Next post Malaysia rakam takziah kemangkatan Ratu Elizabeth II
Ubah saiz-+=