Sorting by

×

JAWATANKUASA KHAS TANGANI ISU PETANI BUKAN WARGANEGARA – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 16 Jun – Melaka bakal menubuhkan jawatankuasa khas selewat-lewatnya bulan depan bagi menangani isu lambakan petani bukan warganegara yang dilihat semakin memonopoli sektor pertanian tempatan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jawatankuasa itu akan melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kita tidak menafikan kewujudan petani bukan warganegara yang bukan sahaja mengusahakan ladang malah turut berniaga di pasar.

“Akibatnya, para petani tempatan terpaksa bersaing dengan tekanan harga borong,” katanya pada sidang media Melaka Agrofest 2025 di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib.

Tambah beliau, keadaan itu amat membimbangkan apabila wujud jurang kos yang ketara antara petani tempatan dan warga asing, khususnya dalam sektor tanaman sayuran.

“Petani asing ini bukan sahaja menetap dan mengusahakan tanaman di sini, malah menjual sendiri hasil mereka pada kos buruh yang rendah. Petani kita pula terpaksa mengupah pekerja, jadi kos mereka lebih tinggi.

“Situasi ini mengganggu ekosistem ekonomi tempatan apabila pembeli di pasar lebih cenderung mendapatkan bekalan daripada petani bukan warganegara, sekali gus mengetepikan hasil petani tempatan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, menegaskan Kerajaan Negeri tidak bertujuan menghalang sepenuhnya penyertaan warga asing dalam pertanian, sebaliknya ingin memastikan peluang dan ruang lebih adil diberikan kepada rakyat tempatan.

“Kita sedang meneliti dari sudut perundangan termasuk kemungkinan penggubalan undang-undang baharu bagi mengekang penguasaan pasaran oleh golongan ini,” jelasnya.

“Beberapa langkah tambahan sedang dalam perbincangan termasuk penggunaan aplikasi digital dalam pemantauan pasaran hasil tani bagi memastikan ketelusan dan keadilan kepada petani tempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post 1,000 VETERAN ATM MELAKA DAN NEGERI SEMBILAN TERIMA PJM
Next post PELATIH PLKN GAGAL LAPOR DIRI, MINDEF TUNGGU LAPORAN PENUH JLKN