
JAWATANKUASA KHAS URUS TANAH TERBIAR
REMBIA 10 Ogos – Jawatankuasa Khas bagi menguruskan tanah terbiar seluruh Negeri Melaka akan diwujudkan khususnya melibatkan lokasi berpotensi untuk dimajukan bagi tujuan pertanian.
Cadangan itu akan dikemukakan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka.
Menurut Chee Leong, Melaka mempunyai banyak tanah terbiar yang dilihat berpotensi untuk dimajukan bagi aktiviti pertanian, sekali gus meningkatkan sumber makanan negeri.
Walau bagaimanapun jelasnya, antara kekangan dalam proses memajukan tanah terbiar adalah terpalit isu pewarisan, terlalu banyak nama pemilik dan ketiadaan persetujuan ahli keluarga.
“Jadi dengan adanya jawatankuasa khas ini nanti, boleh menjadi pemudah cara atau pelaksana yang akan membantu pemilik mahu membangunkan tanah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Balai Raya Taman Seri Kelemak selepas menyempurnakan Program Hari Ladang bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan merangkap Penyelaras DUN Rembia serta Pengarah Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib.
Mengulas lanjut, Chee Leong berkata langkah itu antara usaha memperkasa keterjaminan makanan di negeri ini.
“Sebagai negeri yang kecil, Melaka perlu memaksimumkan penggunaan tanah yang ada agar dapat memberi pulangan ekonomi kepada masyarakat dan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.