JKM cari waris bayi perempuan ditinggal dalam bakul pakaian

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KESIDANG 22 Feb – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka sedang mencari waris atau ibu kandung seorang bayi perempuan yang dijumpai di hadapan sebuah kedai makan di Taman Mutiara, Batu Berendam, di sini, 4 Feb lalu.

Pelindung Kanak-kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah, Norhayati Ahmad berkata, selepas penemuan itu, bayi berusia hampir sebulan itu telah diselamatkan mengikut peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001.

“Justeru, kita memerlukan waris untuk hadir bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut. Bayi tersebut diperintahkan diletakkan pada orang yang layak dan sesuai dan JKM Melaka telah menerima Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 untuk melakukan siaran akhbar

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris atau ibu kandung bayi berkenaan diminta menghubungi Unit Kanak-kanak JKM Melaka Tengah di talian 06-3333333,” katanya.

Dalam kejadian 4 Feb lalu, Melaka Hari Ini melaporkan penemuan seorang bayi perempuan masih bertali pusat dan beruri ditemukan di hadapan sebuah kedai makan.

Bayi itu ditemui dalam sebuah bakul pakaian oleh seorang pengutip tin di kawasan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Suprintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata kertas siasatan telah dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 kanun keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1065
Kongsi :
Previous post Perpisahan tidak direlakan motif bunuh
Next post Polis Melaka gerakkan 308 keanggotaan bantu PRN Johor
Ubah saiz-+=