JKR tambah baik aspek keselamatan di dua selekoh maut
KUALA SUNGAI BARU 22 Jun – Dua lokasi selekoh berbahaya di Jalan Telok Gong ke Kuala Sungai Baru dan berhadapan Balai Polis Kuala Sungai Baru akan ditambah baik dari segi aspek keselamatan pengguna laluan tersebut.
Tindakan itu dilakukan susulan di lokasi selekoh terbabit telah menjadi antara lokasi panas sering berlaku kemalangan dan pernah melibatkan kemalangan nyawa.
EXCO Kerja Raya negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata pihaknya menerusi Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Rosli Abdullah telah membuat lawatan pada dua minggu lalu di jalan tersebut.
“Dua lokasi selekoh bahaya itu telah dikenal pasti untuk dibuat penambahbaikan dari segi aspek keselamatan dan antara cadangan dikawasan tersebut adalah dengan membaru muka permukaan jalan, memasang ‘speed breaker’ atau pemotong kelajuan dan memasang papan tanda amaran, cheveron dan lampu “amber light”, katanya kepada Melaka Hari Ini .
Mengulas lanjut, Rahmad yang juga EXCO Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir berkata pihak JKR telah mengeluarkan sebutharga dan kerja-kerja di tapak akan dilaksanakan pada pertengahan bulan hadapan (Julai).
Tambahnya, dalam masa yang sama pihak JKR akan sentiasa memantau lokasi-lokasi selekoh tajam lain dan akan membuat perancangan penambahbaikan untuk mengurangkan risiko kemalangan.
“Saya juga ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar mematuhi semua arahan dan ikut papan tanda amaran serta sentiasa berhati-hati semasa menggunakan jalan berselekoh.
“Kurangkan laju, bersedia dengan brek dan gunakan gear yang betul,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.