Sorting by

×

‘JOYRIDE’ PACU PELANCONGAN MELAKA TERBANG TINGGI

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 26 September – Sektor pelancongan Melaka kini terbang lebih tinggi apabila memperkenalkan satu lagi tarikan baharu dari ruang udara menerusi program ‘Joyride’.

Program tersebut merupakan yang pertama kali diperkenalkan di negeri ini oleh International Aero Training Academy (IATAC), di mana pakej penerbangan khas itu membolehkan orang ramai, pelancong dan pengunjung menikmati panorama Melaka dari ruang udara dengan menaiki pesawat ringan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peluncuran satu lagi daya tarikan baharu itu sekali gus menyaksikan satu lembaran baharu inovasi pelancongan tercipta di bumi Hang Tuah.

Jelas beliau, inisiatif itu juga secara tidak langsung menjadi simbol transformasi strategik landskap pelancongan yang digerakkan secara berstrategi oleh Kerajaan Negeri Melaka.

“Ini bukan sekadar inisiatif penerbangan, sebaliknya menyatakan bahawa Melaka sentiasa bersedia terbang lebih tinggi meneroka peluang baharu, memacu kreativiti dalam pelancongan, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi bertaraf dunia.

“Inovasi dalam landskap pelancongan seumpama ini nyata menterjemahkan komitmen teguh kerajaan negeri dalam memajukan sektor penerbangan, malah ia turut menjadi langkah strategik merangsang pertumbuhan ekonomi, terutamanya dalam sektor hospitaliti dan perkhidmatan.

“Saya percaya, produk ikonik ini mampu memetakan Melaka sebagai peneraju pelancongan yang unggul, di samping mencipta kisah kejayaan baharu yang kompetetif dan inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Joyride Negeri Melaka sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir, Pengarah Operasi Penerbangan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Captain Mohd Nazri Borhannuddin; Ketua Pegawai Operasi IATAC Captain Kenneth Yap serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, pakej Joyride dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dan akan memenuhi ruang udara Melaka dengan lapan penerbangan sehari.

Jelas beliau, ia turut menawarkan dua pakej atau pilihan tempoh masa, iaitu 15 minit dan 45 minit dengan kadar harga yang berpatutan.

“Sebagai inisiatif pertama di Melaka, program ini dijalankan secara rasmi dengan Sijil Kerja Udara (Aerial Work Certificate) yang diluluskan oleh CAAM, dan pastinya memberi keyakinan penuh bagi menjamin keselamatan penumpang,” katanya.

Terdahulu, bersempena pelancaran Joyride, Kerajaan Negeri telah meraikan seramai 30 orang anak yatim daripada Pusat Jagaan Kasih Sayang Angel Negeri Melaka dan Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim Miskin (PAYASUM) untuk merasai pengalaman terbang di udara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

597
Kongsi :
Previous post PELAJAR SEKOLAH KAGUM MELAKA MILIKI TOKOH, KISAH SEJARAH HEBAT
Next post MELAKA PERKUKUH REPUTASI SEBAGAI GERBANG UTAMA PELANCONGAN NEGARA