
JPJ MELAKA GANTUNG LESEN LAPAN SYARIKAT PENGENDALI BAS, LORI
Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata tindakan itu hasil penguatkuasaan dan pengauditan yang dijalankan di bawah Seksyen 230 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 (Akta 715).
“Audit JISA oleh Unit Pemeriksaan dan Kawalan Kenderaan Perdagangan ini dilaksanakan melalui empat kategori iaitu Audit Kemalangan Jalan Raya, Audit Berkala dan Bersasar, Audit Susulan atau Pasca Tindakan serta Audit Aduan.
“Daripada 73 syarikat yang diaudit, sebanyak 45 syarikat didapati gagal, manakala 28 syarikat lulus dan lapan daripadanya dikenakan tindakan gantung lesen pengendali,” katanya selepas program Lelongan Awam Kenderaan Lucut Hak Bil. 2/2025 di Dewan Tun Fatimah, Bukit Katil di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Siti Zarina berkata pengauditan JISA bertujuan memastikan syarikat pengendali mematuhi aspek keselamatan serta pengurusan operasi kenderaan perdagangan dan awam.
Beliau berkata syarikat pengendali juga diwajibkan mematuhi tujuh perkara mandatori bagi mengelakkan penggantungan atau pembatalan lesen oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat.
“Antara perkara mandatori itu termasuk melantik pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, memasang serta memantau sistem kedudukan global (GPS) pada semua kenderaan semasa operasi, memastikan tempoh pemanduan tidak melebihi lapan jam sehari dengan rehat sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan, menyediakan pelan tindakan keselamatan (ERP) serta memaparkan nombor hotline syarikat pada kenderaan bagi tujuan aduan,” katanya.
Siti Zarina berkata JPJ Melaka akan terus mempergiat pengauditan dan pemantauan terhadap syarikat pengendali bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap peraturan yang ditetapkan.
Sementara itu, beliau berkata kutipan hasil pada sesi Lelongan Awam Kenderaan Lucut Hak Bil. 2/2025 yang diadakan hari ini berjumlah RM103,489 membabitkan 52 kenderaan dengan penyertaan 54 pembida.
“Antara kenderaan yang dilelong ialah 40 motosikal, lapan kereta, dua van bertingkap, satu lori rigid kargo am dan satu semi treler (luton/kotak) yang mendapat perintah lucut hak daripada Mahkamah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Sebuah kereta Daihatsu Copen mencatatkan bidaan tertinggi iaitu RM25,000, manakala motosikal Honda mencatatkan bidaan terendah sebanyak RM150,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


