JPN Melaka komited cegah penularan di sekolah – Rais

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MELAKA 18 Feb – Meskipun kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Melaka merekodkan peningkatan namun Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terus meningkatkan langkah pencegahan awal bagi mengekang penularan COVID-19.

EXCO Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin berkata data terkini menunjukkan bilangan murid yang divaksinkan adalah seramai 18,167 orang.

Katanya, jumlah itu merekodkan peningkatan namun peratusan kadar vaksinasi golongan itu masih rendah iaitu 18.5 peratus daripada 98,200 bagi keseluruhan pelajar di negeri ini.

“Oleh yang demikian, antara langkah-langkah pencegahan utama dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri ialah melaksanakan langkah-langkah di bawah SOP (prosedur operasi standar) 3.0 daripada pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia).

“Keduanya ialah dengan memastikan saringan suhu dilakukan sebelum masuk dan semasa di sekolah malah ujian saringan RTK juga akan dilakukan secara bersasar terhadap pelajar pada setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata JPM turut mengarahkan pihak pengurusan sekolah memantau penjarakan sosial pelajar ketika sesi persekolahan selain kaedah penggiliran kehadiran pelajar bagi mengelakkan kesesakan di sekolah.

“Pihak Jawatankuasa Pendidikan Negeri juga sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah dalam aspek pencegahan dan khidmat nasihat kesihatan malah perkhidmatan pihak bomba juga sentiasa diperlukan dalam melakukan proses sanitasi dalam sekolah termasuk bilik darjah,” katanya.

Dalam pada itu, Rais turut menggerakkan agensi berkaitan menggiatkan kempen kendiri dalam komuniti terutama kepada ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak menerima vaksin serta mengikut SOP ditetapkan.

“Saya selaku Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka menyeru agar kita mengambil berat saranan ini bagi memastikan kesihatan pelajar kita sentiasa terpelihara dan berada di tahap yang memuaskan.

“Akhir sekali, saya berharap agar masyarakat terus mendoakan dan menyokong usaha keras pihak kerajaan ini untuk membendung penularan wabak Covid-19 di sekolah-sekolah negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

570
Kongsi :
Previous post Seri Negeri tutup hari ini
Next post Sehari je dah boleh dapat lesen niaga – Dr Akmal
Ubah saiz-+=