Jualan Keluarga Malaysia rahmat buat rakyat, peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PENGKALAN BATU 18 Dis – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini membantu rakyat dan peniaga terkesan ekoran kos sara hidup yang tinggi.

EXCO Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, inisiatif itu perlu diteruskan pada masa akan datang demi kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Saya memang menyokong penuh program-program yang diusahakan oleh kerajaan sendiri dan saya nampak dalam masa keadaan sekarang ini di mana penduduk agak tersepit dari segi ekonomi dan sebagainya. Jadi, program seumpama ini harus diteruskan sampai bila-bila.

“Macam hari ini, saya nampak barang-barang dijual cukup murah. Minyak masak paket yang jarang dapat diluar, boleh dapat di sini. Harga buah-buahan dan produk-produk lain pun berbeza daripada pasaran.

“Saya harap orang ramai boleh keluar seramai yang boleh untuk bersama-sama mengambil peluang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas ‘walkabout’ pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Tapak Bazar Taman Cempaka, Pengkalan Batu.

Kalsom mengadakan lawatan pada Program Jualan Keluarga Malaysia di Tapak Bazar Taman Cempaka.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Pengkalan Batu berkata, program dengan kerjasama tiga kementerian itu turut menyediakan platform untuk para peniaga memasarkan barang jualan masing-masing.

“Sebenarnya peniaga-peniaga pun dah lama tak keluar disebabkan COVID-19 mereka terpaksa duduk di rumah dan menjalankan perniagaan secara dalam talian yang tidak memberi pulangan sebegitu banyak.

“Jadi dengan cara ini, mereka dapat memasarkan barangan dan pengunjung sendiri pun dapat menikmati suasana yang lebih seronok untuk membeli belah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1032
Kongsi :
Previous post Banjir: Balai polis Lubok China tenggelam
Next post Hujan berterusan sejak semalam, beberapa negeri dilanda banjir
Ubah saiz-+=