Jualan murah antara tarikan Hari Koperasi Negara 12 Jun depan

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Jun – Program jualan barangan harga patut dengan pemberian diskaun sebanyak 15 peratus antara tarikan buat pengunjung sambutan Hari Koperasi Negara peringkat negeri diadakan pada 12 Jun depan.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Mohd Firdaus Shaari berkata, pelbagai aktiviti turut diatur untuk orang ramai sepanjang program berlangsung selama tiga hari di Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir.

“Ada pelbagai gerai jualan, selain acara simbolik kayuhan 100 basikal di Dataran A Famosa, zumba, kuiz agensi dan pertandingan nyanyian kanak-kanak.

“Program dijangka dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan beliau dijadualkan akan menyampaikan tujuh anugerah kepada koperasi terbabit di negeri ini.

“Anugerah Tokoh Koperasi Negeri Melaka 2022 antara yang akan disampaikan Ketua Menteri nanti, selain Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Kewangan dan Anugerah Koperasi Terbaik Sektor Pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pra Pelancaran Hari Koperasi Negara Peringkat Negeri Melaka diadakan di Dataran A’Famosa, di sini hari ini.

Pada program sama berlangsung pelancaran promosi sambutan itu yang membabitkan 30 beca daripada Koperasi Abang Beca Melaka Berhad.

Kesemua beca yang dipilih dipasang gegantung bagi mempromosikan program itu yang bertemakan ‘100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1416
Kongsi :
Previous post Tiga lelaki warga asing didakwa edar kanabis
Next post Penternak harap harga ayam diapung susulan penamatan subsidi
Ubah saiz-+=