Kaji kenaikan harga ayam mentah, pengguna perlu bersedia – Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SUNGAI RAMBAI 7 Jan – Pengguna perlu bersedia dengan kenaikan harga siling ayam mentah selepas Tahun Baru Cina.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berikutan kerajaan akan mengkaji semula harga siling ayam mentah tersebut sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Katanya, sesi libat urus antara agensi berkaitan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta penternak akan diadakan bagi membincangkan mengenai isu itu demi menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak.

“Kita dah wartakan harga kawalan di peringkat runcit RM9.10 dan kenaikan itu dijangka berlaku selepas tamat Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 4 Feb ini.

“Semalam kita bincang bersama persatuan penternak yang mengeluh harga ternakan dan kos operasi mereka dah meningkat sebab pengimportan dedak ayam” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sungai Rambai di sini hari ini.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang media selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rambai, Jasin.

Ujarnya, kementerian bagaimanapun sentiasa mencari mekanisme terbaik bagi memberi situasi menang-menang antara kedua belah pihak.

“Sebab itu kita buat libat urus sebab kita jaga pengguna, kita juga harus jaga peniaga sebab jika mereka tak dapat teruskan operasi, kita pun tak ada bekalan nanti.

“Kita akan lihat sejauh mana kita boleh kawal harga itu…kalau terlalu lama mungkin boleh jejaskan industri penternak ayam. Tapi jangan risau, KPDNHEP akan jaga kepentingan pengguna.

“Kenaikan tak pasti berapa sebab ada kaedah lain, MAFI kata ada import ayam tapi buat masa sekarang belum masuk lagi, kalau dah ada mungkin bekalan dah banyak jadi persaingan mungkin berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

620
Kongsi :
Previous post Tawar khidmat seks, enam wanita Afrika ditahan – Imigresen
Next post Banjir: Situasi di tiga negeri bertambah baik, mangsa di Segamat meningkat
Ubah saiz-+=