KAMPUNG DIGITAL MELAKA SELESAI, 82,000 KEDIAMAN DAN PREMIS TERIMA ALAMAT BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Inisiatif Kampung Digital yang pertama seumpamanya di Malaysia kini telah selesai sepenuhnya membabitkan sebanyak 618 kampung seluruh Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu membabitkan sebanyak lebih 82,000 kediaman dan premis berdaftar yang sebelum ini bergantung kepada alamat perbatuan.

Menurut beliau, ia sekali gus membuktikan agenda pendigitalan Kerajaan Negeri bukan hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur teknologi, sebaliknya turut memastikan masyarakat di peringkat akar umbi mendapat manfaat daripada transformasi digital.

“Pendigitalan bukan sekadar tentang menara telekomunikasi, gentian optik atau aplikasi. Teknologi hanya mempunyai makna apabila urusan rakyat menjadi lebih mudah, perkhidmatan menjadi lebih pantas, peluang menjadi lebih luas dan tiada komuniti ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-77 Tuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, pelaksanaan Kampung Digital turut membabitkan pendaftaran alamat digital yang menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan memperkemas sistem penyampaian perkhidmatan serta memastikan setiap komuniti mempunyai identiti alamat yang lebih tersusun.

Katanya, sehingga kini sebanyak 6,545 MyKad telah dikeluarkan menggunakan alamat Kampung Digital, menunjukkan penerimaan serta penggunaan inisiatif berkenaan dalam kalangan masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post INISIATIF MESRA, WRUR BUKTI KEPRIHATINAN KERAJAAN NEGERI PADA RAKYAT MELAKA
Next post FORMULA YB ALONG NOKTAHKAN PENANTIAN ANAK PENEROKA