Kanak-kanak diselamatkan dari terus menjadi mangsa dera

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ALOR GAJAH 2 Okt. – Seorang kanak- kanak lelaki mengalami kecederaan dibahagian belakang badan dipercayai didera bapa angkatnya dalam kejadian Taman Seruling Jaya, Masjid Tanah di sini, hari ini.

Pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian kira- kira jam 6 petang sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian yang menimpa kanak- kanak lelaki berusia sembilan tahun itu disedari masyarakat sekeliling kemudian memaklumkan kepada polis.

Beliau berkata, mangsa berjaya diselamatkan daripada terus dipercayai menjadi mangsa dera selain suspek berusia 34 tahun ditahan polis.

“Pihak polis turut merampas getah paip yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.

“Difahamkan mangsa tinggal bersama suspek selama dua tahun selepas bapanya menghilangkan diri manakala ibunya dikatakan tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut Arshad, mangsa didakwa sering dipukul oleh suspek yang dikatakan panas baran.

“Mangsa juga tidak bersekolah dan sering mengadu dipukul oleh suspek.

“Kanak-kanak itu kemudian dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau turut memuji sikap perhatin masyarakat yang menyalurkan maklumat seperti ini seterusnya dapat menyelamatkan mangsa.

“Suspek kini ditahan dan permohonan reman akan dibuat esok mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah serta kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana Mendatangkan Cedera dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak,” katanya.

Views:

570
Kongsi :
Previous post Agong berangkat pulang selepas jalani rawatan di IJN
Next post MBMB rancang pembangunan 15 tahun ke hadapan
Ubah saiz-+=