KAQSA lahirkan ratusan huffaz dan cendekiawan Islam terulung

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 10 April – Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA) Bukit Katil kini telah melahirkan ratusan graduan huffaz al-Quran yang menyumbang jasa kepada pembangunan Islam di negeri dan negara ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud berkata, sejak ditubuhkan 10 tahun lalu KAQSA berkembang menjadi kolej lengkap yang menawarkan jurusan Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat serta Diploma Tahfiz al-Quran dan Pengurusan Halal dengan kapasiti 120 pelajar pada satu-satu masa.

Katanya, kurikulum KAQSA juga menggunakan sepenuhnya kurikulum Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus menyamai kelayakan institusi berkenaan serta berpeluang melanjutkan pengajian yang sama.

“Kerajaan negeri amat prihatin terhadap usaha-usaha berkaitan pembangunan Islam dan umatnya untuk mendapatkan akses kepada pendidikan agama dan seterusnya berperanan memandu umat ke jalan diredai Allah SWT.

“Kita amat berharap kolej ini terus melahirkan huffaz dan cendekiawan Islam terulung untuk berbakti kepada negara,” katanya berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam Majlis Konvokesyen KAQSA kali ke-8 di Hotel Ames, di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen itu dirasmikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Dalam majlis itu, graduan Diploma Tahfiz al-Quran dan aL-Qiraat, Raudhatun Najah Rashidi dipilih Tokoh Huffaz KAQSA atas kecemerlangan akademik serta penglibatan aktifnya dalam pelbagai persatuan.

Pelajar berasal dari Kuantan Pahang itu turut diberi kepercayaan menjadi Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KAQSA bagi sesi 2020/2021 serta banyak menyertai pertandingan hafazan al-Quran di peringkat negeri dan kebangsaan.

Anugerah as-Syatihi untuk pelajar cemerlang dalam Syukbah Qiraat diberi kepada Nur Iffa Nabila Ibrahim, manakala, Halimatun Saadiah Zainal dipilih menerima Anugerah As-Syafi’ bagi pelajar cemerlang Syukbah Pengurusan Halal.

Anugerah Tahriri Terbaik bagi pelajar yang berjaya menyelesaikan penulisan 30 juzuk ayat suci Al-Quran dengan kemas dan tertib mengikut kaedah penulisan resam Uthmani pula telah diberikan kepada Muhammad Yassin Muhammad Karim dan Zafirah Zulkefli.

Selain itu, 23 pelajar turut diberikan Anugerah Khatam Hafazan al-Quran dan 63 pelajar lagi menerima Anugerah Penyampaian Akademik KAQSA.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2651
Kongsi :
Previous post Lepasan universiti digalak sertai program pembelajaran sepanjang hayat- KPT
Next post Agong hantar perutusan takziah kepada Ratu Elizabeth II
Ubah saiz-+=