
KARNIVAL DEMI PAYA RUMPUT DAPAT SAMBUTAN HEBAT
PAYA RUMPUT 12 Februari – Penganjuran Karnival Demi Paya Rumput bukan sekadar aktiviti hiburan dan kemasyarakatan, sebaliknya menjadi platform penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menerima manfaat secara menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, melalui pendekatan turun padang wakil rakyat bersama penduduk setempat memupuk semangat komuniti di kawasan DUN Paya Rumput.
Katanya, memasuki pertengahan minggu karnival tersebut, setiap program yang dilaksanakan mengikut pecahan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sentiasa menerima sambutan hangat daripada penduduk setempat.
“Program ini umpama mini Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang digagaskan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang bertujuan mendekatkan wakil rakyat dengan rakyat.
“Tempoh seminggu ini memang padat, meskipun sedikit penat namun saya berpuas hati dengan sambutan penduduk DUN Paya Rumput sekali gus menunjukkan rakyat menghargai usaha wakil rakyat turun padang,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan Walkabout Pasar Malam Taman Rambai Utama, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Muhammad Firdaus Shariff; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Datuk, Shamsudin Mohamad serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata inisiatif itu wajar diangkat dan menjadi contoh kepada DUN-DUN lain untuk mendekatkan wakil rakyat dengan masyarakat.
“Program seumpama ini tujuannya tiada lain iaitu memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


