
KARNIVAL HAVOC STEM PLATFORM KENAL PASTI POTENSI MURID ISTIMEWA
DUYONG 17 Julai – Karnival Havoc Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Pendidikan Khas dianjurkan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, berjaya menghimpunkan hampir 200 murid berkeperluan khas sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, program dijayakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka itu adalah antara usaha untuk memberi pendedahan berkaitan STEM kepada golongan berkeperluan khas.
Katanya, karnival berlangsung selama dua hari itu melibatkan penyertaan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Melaka.
“Sementara itu peserta luar Melaka yang mengambil bahagian dalam Karnival Havoc STEM Pendidikan Khas ini adalah wakil SKPK Batu Pahat dan SKPK Muar serta SKPK Seremban.
“Antara program yang disusun sepanjang dua hari karnival adalah pameran, aktiviti STEM, aktiviti bersama Kolej Komuniti dan pelbagai pertandingan berkaitan STEM yang memberi pendedahan awal kepada anak-anak istimewa ini,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Karnival Havoc STEM Pendidikan Khas di SKPK Melaka, di Semabok, semalam.
Menurut Mohd Noor Helmy, setiap anak-anak berkeperluan khas sebenarnya memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang boleh diketengahkan, namun bakat itu perlu dikenal pasti terlebih dahulu.
“Sebagai pentadbir kita perlu melihat daripada perspektif berbeza, jangan sekadar pandang kekurangan mereka ini dan fikirkan kaedah untuk membantu dengan melakukan penambahbaikan, sebaliknya cari cara untuk kembangkan lagi potensi itu.
“Mungkin selama ini kita mengambil konsep memikirkan bagaimana cara menyelesaikan masalah anak autism atau orang kurang upaya (OKU), tetapi sebenarnya apa yang perlu dilakukan adalah mengenal pasti kelebihan yang ada pada mereka. Kelebihan ini dapat membantu menutup kelemahan yang ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.