Sorting by

×

KARNIVAL RAKYAT DAN KERJAYA DUN TABOH NANING MERIAH

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

TABOH NANING 24 September – Lebih 1,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning hadir bagi bersama-sama memeriahkan Karnival Rakyat dan Kerjaya DUN Taboh Naning berlangsung di Kompleks Japerun DUN Taboh Naning, di sini, 20 September lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata karnival yang dianjurkan bukan sahaja merapatkan hubungan kerajaan dengan rakyat, tetapi menjadi platform penting dalam membina modal insan melalui peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Program dimulakan dengan sukan rakyat yang melibatkan tujuh acara seperti futsal, bola jaring dan tidak ketinggalan konda kondi yang semakin diminati ramai.

“Turut berlangsung karnival kerjaya dijayakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang mana calon dalam kalangan warga DUN Taboh Naning akan terus ditemuduga oleh majikan yang mengambil bahagian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Karnival itu diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang diiringi Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Beliau yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, karnival kerjaya melibatkan pihak industri sekitar DUN berkenaan termasuk syarikat automotif terkemuka.

Zulkiflee berkata, pada majlis sama turut berlangsung penyerahan bantuan baik pulih rumah berjumlah RM30,000 hasil inisiatif Lembaga Perumahan Melaka kepada dua penerima dari DUN Taboh Naning.

“Kita memperuntukkan RM15,000 bagi setiap penerima, sumbangan ini akan digunakan untuk membaik pulih kediaman mereka yang sudah uzur akibat pelbagai faktor. Ini adalah antara usaha kerajaan bagi membantu rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

985
Kongsi :
Previous post KENALI SIAPA SEBENARNYA ENRIQUE DE MALACA
Next post TRAGEDI MANDI LAUT: KANAK-KANAK LELAKI DITEMUKAN LEMAS DI PANTAI PUTERI