Karya OKU Melaka ‘terbang’ ke Paris

Masa Membaca:3 Minit, 2 Saat

MASJID TANAH 22 Februari – Tidak pernah menyalahkan takdir, pergerakan yang terbatas dan status orang kurang upaya (OKU) bukan penghalang buat insan gigih ini untuk bersaing, sekali gus meraih kejayaan.

Atas rasa mahu mahu mereka ini memanfaat kemahiran jahitan dipelajari untuk menghasilkan produk berkualiti yang kini menjadi rebutan kaum hawa di Paris, Perancis yang terkenal sebagai kota fesyen dunia.

Semangat untuk berjaya mengatasi segala-galanya kerana ada kelengkapan kaum hawa seperti beg tangan dihasilkan daripada kain perca adalah hasil kemahiran OKU yang mengalami masalah penglihatan yang kabur.

Perjalanan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Malindo, Masjid Tanah iaitu pusat sehenti untuk OKU dikongsikan Melaka Hari Ini untuk dijadikan inspirasi bukan sahaja buat OKU sebaliknya seluruh rakyat Malaysia untuk kembali bangkit dan yakin dengan kemampuan diri.

LAIN ORANG LAIN RAGAMNYA

PDK Seri Malindo ditubuhkan pada 1995 diberi kepercayaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menjalankan sebuah projek Program Pemerkasaan Ekonomi (EEP) pada 2012.

Kini PDK Seri Malindo berjaya menghasilkan puluhan ribu kraftangan hasil daripada asas jahitan yang dipelajari OKU.

pdk malindo story main 2
NORZEHAN membantu pelatih melakukan kerja jahitan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Penyelia PDK Seri Malindo, Norzehan Mamat, 55, berkata, sejak 2004 dia mula mendidik anak istimewa itu dan ia bukan perkara mudah.

“Anak-anak ini saya umpamakan ‘banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragamnya’. Namun sekarang daripada tangan yang kekok mereka mampu menghasilkan produk berkualiti.

“Kekurangan anak-anak ini berbeza-beza termasuk mengalami masalah pendengaran, jadi cara mendidik mereka juga perlu sesuai dengan individu berkenaan, kesabaran adalah kunci utama saya,” katanya.

Norzehan berkata, bagi yang mempunyai masalah pembelajaran akan diajar mengikut langkah satu persatu dan tidak boleh secara mendadak.

Katanya biarpun banyak kekurangan namun anak-anak istimewa dalam jagaannya memiliki semangat disiplin yang tinggi dan tidak pernah ‘curi tulang’ ketika mengikuti kelas.

TEMPAHAN ‘MENGGILA’ SEHINGGA KE PERANCIS

Setakat ini PDK Seri Malindo sudah menghasilkan puluhan ribu jenis beg ditempah pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan.

pdk malindo story main 5
ANTARA karya yang dihasilkan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pihaknya pernah menerima kira-kira 15,000 tempahan beg kecil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Melaka untuk dijadikan cenderahati.

Dia berasa amat terharu apabila hasil tangan anak istimewa asuhannya terbang ke Perancis dan dipamerkan pada program diadakan di Paris pada 2014.

“Saya tidak sangka JKM beri tawaran seperti itu. Alhamdulillah terima kasih diucapkan kepada JKM atas peluang yang diberikan dan produk kami terjual hampir 100 unit.

“Pembeli di Perancis tahu menilai dan menghargai kehalusan seni hinggakan ramai dalam kalangan mereka membayar 10 kali ganda daripada harga asal,” katanya.

HIDUP UMPAMA RESAM PADI

Pada asalnya, pusat sehenti itu hanya mendidik anak OKU dengan memberikan kemahiran asas jahitan menggunakan tangan sebelum beralih kepada mesin jahit mudah alih.

pdk malindo story main 6
PELATIH PDK Seri Malindo menunjukkan kemahiran jahitan tangan.Foto Iqmal Haqim Rosman

Kini pelatih di pusat itu sudah mampu mengendalikan mesin jahit kelas industri dan aktif mengambil upah jahitan beg dengan menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM450 sebulan.

Sebagai tenaga pengajar dia tidak pernah mengenal erti penat meskipun perlu mengulangi perkara sama setiap hari, bagi memastikan amanah dipikul dijalankan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Bila lihat anak-anak ini sudah boleh kendalikan mesih jahit kelas industri itu sudah cukup memberikan kepuasan kepada saya.

“Sekarang ini setiap bulan kita akan aturkan jadual mereka untuk siapkan tempahan mengikut sasaran. Contoh jika tempahan beg itu banyak maka setiap pelatih diminta untuk siapkan dua unit sehari.

“Kalau beg bersaiz lebih kecil pula mereka boleh siapkan antara dua hingga tidak unit setiap hari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1830
Kongsi :
Previous post Isu penyeludupan produk tembakau, produk beralkohol antara tumpuan Dewan Rakyat
Next post Tawar kemahiran percuma kepada OKU
Ubah saiz-+=