
KARYA SEJARAH ‘BARA SENGKETA’ BAWA TUAH KEPADA MOHD KASIM
BUKIT BARU 29 Oktober – Karya berunsur sejarah bertajuk ‘Bara Sengketa’ membawa tuah kepada bekas Guru Bahasa Melayu, Mohd Kasim Mahmud, 68, apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Persuratan Selatan 2025 bagi kategori Citra Sastera Novel.
Anak kelahiran Kampung Lanchang, Merlimau itu membawa pulang sijil penghargaan serta hadiah wang tunai RM3,000 pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM), semalam.
Mohd Kasim yang kini menetap di Kota Tinggi, Johor berkata, Bara Sengketa merupakan novel sejarah yang mengangkat kisah Kesultanan Johor dengan kaitan sejarah Melaka.
“Sebagai penulis novel sejarah, kita tidak boleh lari daripada fakta sebenar. Kalau tersasar, ia bukan lagi sejarah tetapi fiksyen semata-mata.
“Minat terhadap dunia penulisan mula berputik sejak di bangku sekolah rendah kerana saya gemar membaca pelbagai jenis novel.
“Novel pertama saya lahir ketika usia 30 tahun dan sejak itu, hampir setiap satu atau dua tahun saya akan hasilkan karya baharu sama ada untuk kanak-kanak, remaja atau dewasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mohd Kasim yang juga bapa kepada empat anak itu berpendapat karya sastera perlu mendidik masyarakat, bukan sekadar menghibur pembaca.
“Bagi saya, novel perlu memberi ilmu dan membuka minda. Itulah tanggungjawab sebenar seorang penulis.
“Alhamdulillah dan syukur ini adalah rezeki hasil doa serta sokongan berterusan daripada isteri dan anak-anak,” katanya.
Terdahulu anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


