KAYM kembalikan tradisi gotong-royong
AYER KEROH 23 Ogos – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mengambil inisiatif mengembalikan semula tradisi program gotong-royong membabitkan istitusi pengajian tinggi itu.
Pengarah program, Tiara Jasmine Anak Martin berkata, program yang membabitkan penyertaan pelajar dan pensyarah itu diadakan bertujuan untuk membentuk semangat cintakan kebersihan membabitkan warga KAYM.
Katanya, menerusi program itu ia bukan sahaja mengubah persekitaran yang lebih kondusif, bahkan dapat mengeratkan hubungan di antara peserta terlibat.
“Program ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada semua warga KAYM untuk bersama menjaga kebersihan kolej.
“Ia juga diharap dapat mengeratkan hubungan di antara pelajar dan warga kerja kolej,” katanya.
Menurut salah seorang peserta, Norhayle Ramlee yang juga pelajar Diploma Teknologi Media, program seumpama itu amat baik dalam membentuk mahasiswa yang cakna dengan aspek kebersihan.
“Selain daripada seronok dengan aktiviti ini, saya juga dapat kenal mesra dengan kawan-kawan baharu yang berlainan kursus,” katanya.
Keterujaan sama turut dizahirkan pelajar SKM Tahap 2 Elektrik Muhammad Akmal Hafiz Mazlan yang gembira melihat kerjasama erat dipamerkan semua warga KAYM dalam menjayakan gotong-royong berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.