Sorting by

×

KAYU GAHARU, KAYU KARAS LEBIH RM100 JUTA DIRAMPAS

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BUKIT RAMBAI 4 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, merampas kayu gaharu dan kayu karas termasuk sudah siap diproses dianggarkan bernilai lebih RM100 juta hasil serbuan Khamis lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan bermula jam 11.30 pagi itu melibatkan dua lokasi iaitu lot kilang di kawasan Perindustrian Bukit Rambai dan sebuah kediaman di Ayer Keroh Heights.

Katanya, serbuan adalah susulan maklumat diterima dan risikan berhubung aktiviti memiliki, menyimpan, memproses dan urus niaga kayu gaharu secara tidak sah.

“Hasil pemeriksaan di kedua-dua lokasi, pasukan serbuan menemukan longgokan disyaki kayu gaharu, bongkah kayu gaharu, longgokan guni yang disyaki mengandungi kayu gaharu, serbuk gaharu mesin dan dapur penyulingan.

“Ketika serbuan di premis kediaman pula, pasukan serbuan mendapati ia hanya menyimpan kayu-kayu berkualiti tinggi dan diletakkan dalam suhu sejuk (ruang dilengkapi pendingin hawa). Kesemua rampasan membabitkan kayu dan hasil yang sudah diproses itu dianggarkan bernilai RM106,431, 468.

“Semakan lanjut dilakukan mendapati kayu yang ditemui itu disyaki kayu gaharu spesis Aquilaria Malaccensis @Agarwood yang dikawal dibawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Peraturan-Peraturan Hasil Hutan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Perhutanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang turut dihadiri Timbalan Pengarah KDNKA (WCB/PSK) Senior Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @Hilmi di kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Menurut Dzulkhairi, semakan lanjut mendapati premis yang dipercayai sudah beroperasi sejak setahun lalu itu tidak berdaftar dengan Pejabat Perhutanan selain aktif menjalankan aktiviti memiliki, menyimpan, memproses serta urus niaga kayu gaharu secara tidak sah.

“Hasil serbuan juga mendapati premis itu tiada kebenaran pas pemindahan yang dimohon untuk memiliki hasil hutan dan menyimpan di premis kediaman.

“Selain semakan dibuat oleh agensi yang terlibat juga mendapati hasil kayu gaharu atau produk dihasilkan itu bukan sahaja untuk edaran di pasaran tempatan tetapi dipercayai untuk dieksport ke luar negara.

“Susulan serbuan itu juga kita turut menahan tiga individu iaitu dua lelaki iaitu pekerja warga Myanmar dan seorang wanita warga tempatan berusia 55 tahun merupakan pemilik kediaman,” katanya.

Jelasnya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kejadian tiga kecurian pokok gaharu di sebuah padang golf di Melaka baru-baru ini ada kaitan dengan serbuan dilakukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

521
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU JADI NEGERI CONTOH DASAR HIJAU
Next post MELAKA HALAL HUB BANTU USAHAWAN BERKEMBANG