Kebajikan dan ekonomi Melaka agenda utama kerajaan Melaka – PM

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 21 Nov – Kebajikan rakyat dan kemajuan ekonomi Melaka akan menjadi agenda utama dalam kerajaan Melaka yang bakal dibentuk, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi catatan Facebook peribadi miliknya, Ismail berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) meraih menang majoriti 21 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam menunjukkan semangat Keluarga Malaysia yang mahu membangunkan semula negara akibat pandemik COVID-19.

Sehubungan itu katanya, dua aspek itu akan menjadi keutamaan di bawah pentadbiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

“Terima kasih buat Keluarga Malaysia di Melaka kerana memilih BN sebagai kerajaan baharu.

“Insya-Allah kebajikan dan kemajuan ekonomi negeri Melaka pastinya akan menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan serta timbalan pengerusi BN, presiden parti komponen dan seluruh jentera parti.

Katanya, kejayaaan itu adalah hasil usaha ditunjukkan jentera parti yang menggembleng tenaga membantu untuk memenangkan BN di Melaka.

“Penghargaan juga buat mantan Pengerusi BN, Datuk Najib Tun Razak yang turut turun padang membantu kemenangan di Melaka.

“Inilah semangat Keluarga Malaysia yang mana kita semua menuju ke destinasi yang sama iaitu membangunkan kembali Malaysia selepas mengharungi pandemik yang mencabar ini.

“Terima kasih Keluarga Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

983
Kongsi :
Previous post Mekanik maut dihempap kereta dibaikinya
Next post PRN Melaka bukti demokrasi negara positif – Penganalisis Politik
Ubah saiz-+=