
KEBAJIKAN GURU JAIM TERBELA, TERIMA KASIH KETUA MENTERI
BUKIT KATIL 14 Jun – Inisiatif Kerajaan Negeri memperkenalkan sagu hati cuti bersalin RM1,600 kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) mendapat pujian warga pendidik Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Rata-rata guru SRA dan Tadika JAIM memberi reaksi positif terhadap inisiatif yang mula-mula diperkenal Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Bulan Mei 2025, sebelum mengumumkan inisiatif itu akan diteruskan sehingga 2026 pada Majlis Sambutan Hari Guru JAIM Peringkat Negeri Melaka, semalam.
Guru SRA JAIM Bukit Baru/Piatu, Nur Ain Zakaria, 33 yang menzahirkan rasa terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang peka dengan isu dihadapi guru wanita JAIM.

“Jika sebelum ini, kami cuti bersalin, tiada gaji, namun kini keadaan lebih baik apabila inisiatif sagu hati diperkenalkan, malahan ia diteruskan pada tahun hadapan, Alhamdulillah, terima kasih Kerajaan Negeri,” jelasnya yang telah berkhidmat selama 10 tahun kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama turut dizahirkan guru SRA JAIM Kampung Baru, Alor Gajah, Nurhanim Baharudin, 32 yang menyifatkan insentif itu sebagai manifestasi keprihatinan Ketua Menteri dalam membela nasib guru agama di negeri ini.
“Syukur Alhamdulillah, pengumuman Ketua Menteri adalah tanda prihatin golongan wanita dalam kalangan guru JAIM, selain membela kebajikan pendidik di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, guru SRA JAIM Seri Bandar, Bukit Serindit, Nur Syarmilah Kasim, 31 menzahirkan harapan agar inisiatif sagu hati itu akan terus dikekalkan pada tahun-tahun mendatang.
“Sudah pasti kami pendidik wanita gembira apabila inisiatif ini diumumkan malahan ia dilanjutkan ke tahun hadapan, saya harapkan perkara ini dapat dijadikan satu insentif tetap supaya guru-guru lain dapat dijaga kebajikannya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.