Kebanyakan pelajar tingkatan 5 dan 6 sudah terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin

KUALA LUMPUR 4 Okt – Kira-kira 90 peratus pelajar tingkatan lima dan 88 peratus pelajar tingkatan empat di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 masing-masing.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam catatan di akaun twitternya pagi ini berkata, semasa negara membuka kembali sekolah, adalah penting untuk memastikan bahawa pelajar boleh menyambung kembali pembelajaran di sekolah dengan selamat.

“Dengan #ReopeningSafely, 90 peratus daripada pelajar berumur 17 tahun dan 88 peratus berumur 16 tahun di sekolah-sekolah @KemPendidikan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19. Mari kita bawa anak-anak kita kembali ke sekolah dengan selamat,” katanya.

Kira-kira 47,000 pelajar di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah telah kembali mengikuti kelas pembelajaran secara bersemuka di sekolah-sekolah mulai semalam, manakala 94,000 lagi pelajar di 10 negeri kembali ke sekolah hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini dilaporkan berkata, kumpulan awal yang dibenarkan kembali ke sekolah adalah kumpulan pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

Beliau berkata sekolah-sekolah terlibat akan menggunakan kaedah penggiliran pelajar dengan kehadiran mingguan ditetapkan 50 peratus daripada kapasiti kelas bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja), kerajaan menyasarkan 60 peratus ramaja berumur antara 12 dan 17 menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang November, dan 80 peratus daripada mereka menjalani vaksinasi lengkap sebelum sekolah dibuka untuk sesi persekolahan 2022.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

159
Previous post DOS penggalak: Kerajaan disyor laksana kaedah guna vaksin berbeza dos asal – Khairy
Next post Kenderaan bawa KM keluar Seri Bendahara