Kebenaran rentas daerah, negeri ‘hidupkan’ pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DURIAN TUNGGAL 6 Dis. – Kebenaran merentas daerah dan negeri yang berkuatkuasa esok akan membuka peluang baharu Melaka bagi menarik kedatangan pelancong domestik ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, kebenaran tersebut merupakan peluang bagi pelancong untuk berkunjung ke negeri ini sekali gus merancakkan sektor pelancongan Melaka.

Menurutnya, pelbagai strategi dan tarikan telah ditawarkan negeri ini dengan pelbagai promosi dan potongan harga buat pelancong.

SULAIMAN menyampaikan sumbangan kepada penduduk selepas menghadiri Solat Subuh berjemaah dan tazkirah di Masjid Ar-Rahman, Kampung Parit Melana, pagi tadi.

“Kita mengalu-alukan kedatangan pelancong dari negeri lain mahupun negeri ini untuk menikmati tarikan pelancongan di Melaka bagi menikmati pelbagai peluang potongan harga sehingga 50 peratus, malah pelbagai syarikat perhotelan lima bintang termasuk inap desa juga menawarkan potongan sebanyak 30 peratus sempena musim cuti persekolahan ini.

“Selain itu, kerajaan negeri turut komited bagi meneruskan kempen ‘Melakan Visit Melaka’ yang turut memberi peluang kepada pemain industri termasuk penarik beca di negeri ini dalam menjana pendapatan akibat terjejas dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatannya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Datuk Seri Ghafaar Atan serta tetamu lain.

Pada masa sama, Sulaiman mengingatkan walaupun pintu sempadan bagi merentas negeri dan daerah dibuka, orang ramai perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Apabila rentas negeri dan daerah telah dibuka, ini bermakna aktiviti pelancongan Melaka akan ‘hidup’ semula dan saya begitu bersyukur dengan perkara yang diumumkan ini dalam merancakkan sektor pelancongan negeri.

“Dalam keadaan kita menggamit kedatangan pelancong, kita perlu ingat bahawa kita masih belum lagi selesai dalam peperangan bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19,” tambahnya.

Views:

602
Kongsi :
Previous post Wanita maut terbabit kemalangan
Next post Pembinaan pekan kecil perkasa ekonomi penduduk luar bandar
Ubah saiz-+=