Kedai kopi ‘hipster’ ceruk kampung

Masa Membaca:2 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Okt – Siapa sangka di sebalik sebuah rumah di Kampung Belimbing Dalam, di sini, wujudnya warung yang menjual kopi premium setaraf kafe ‘hipster’ di luar sana.

Warung berkonsepkan nostalgia itu diberi nama Zenia Coffee, diusahakan seorang anak muda berusia 36 tahun.

Menurut pengurus dan pemiliknya, Zainal Abidin Omar, warung yang diusahakannya di halaman rumah bersama keluarga itu pada awalnya hanya menjual makanan citarasa tempatan seperti sate dan roti john.

Namun, berbekal pengalaman dan minat terhadap pembuatan kopi, dia mula memperkenalkan konsep gabungan warung dan kafe untuk menarik pelanggan.

“Pada asalnya ia merupakan minat saya sendiri untuk menghasilkan minuman kopi seperti ini dan dengan galakan keluarga, disamping ilmu yang diperoleh daripada sepupu saya telah memulakan cabang baharu ini pada awal 2020,” katanya kepada Melaka Hari ini.

Menurut Zainal Abidin, antara cabaran yang dihadapi sejak awal pembabitannya dalam dunia kopi ialah terpaksa berhabis ribuan Ringgit semata-mata membeli mesin kopi berteknologi tinggi.

Katanya, teknologi mesin, selain biji kopi yang dipilih memainkan peranan cukup penting kerana ia mampu memberi tekstur rasa yang berbeza dalam minuman yang dihasilkan.

“Kualiti itu yang sentiasa menjadi keutamaan kerana setiap jenis mesin mempunyai pelbagai fungsi tersendiri.

“Selain itu pemilihan kopi juga perlu dititikberatkan yang mana kebanyakan kopi akan saya bawa masuk dari pelbagai negara seperti Brazil, Ethiopia, Venezuela, Indonesia.

“Kopi itu kemudiannya akan dipanggang dan dicampur dengan kadar peratusan tersendiri mengikut ramuan yang telah saya pelajari selama ini,” katanya.

Dengan secawan kopi berharga serendah RM6, ujarnya, para pelanggan boleh menikmati minuman kopi yang dipanggang dan dibru segar dengan tambahan hiasan ‘seni latte’ di atasnya, persis layanan buat golongan kayangan.

SECAWAN kopi yang menjadi kegemaran ramai.

“Bagi saya asalnya warung ini untuk masyarakat kampung kerana mereka juga ada niat nak rasa kopi mahal seperti di restoran dan kafe mewah.

“Cuma mereka tidak ada kesempatan untuk mengunjunginya mungkin kerana malu dan tidak faham untuk memesan nama jenis-jenis minuman kopi, disamping harganya yang mahal.

“Namun, saya bersyukur kerana bukan sahaja penduduk kampung, bahkan warung ini ada peminatnya tersendiri sehinggakan ada juga pelanggan yang datang dari jauh seperti Johor dan Kelantan semata-mata menikmati kopi premium dengan harga ekonomi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin turut menyuarakan harapan agar perniagaan yang diusahakan itu dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan di luar sana.

Katanya, meskipun terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan cabaran, perkara paling penting adalah jangan cepat berputus asa.

KOPI yang dipanggang sendiri oleh Zainal Abidin.

Bagi orang ramai yang ingin merasai pengalaman menghirup kopi ‘hipster’ dengan harga ekonomi, bolehlah berkunjung ke Zenia Coffee yang dibuka bermula 5.30 petang hingga 9.30 malam.

Antara minuman kopi premium yang dijual di sini termasuklah Espresso, Black Coffee, Cappuccino, Caffe Latte, Mocha, Hazelnut Latte, Flat White dan pelbagai lagi.

Selain itu, turut dijual pek kopi yang siap dipanggang dengan harga serendah RM30, bergantung kepada jenis kopi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5666
Kongsi :
Previous post Gagal pastikan keselamatan di tapak pembinaan SUKE, Zhongshi International didenda RM45,000
Next post Melaka lancar Bas Penyayang, percuma buat 33,000 golongan sasar
Ubah saiz-+=