Kekasih tokan dadah dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER MOLEK 19 Jan – Sepasang kekasih yang aktif menjalankan aktiviti mengedar dadah di sekitar Ayer Molek dicekup dalam satu serbuan di Taman Ayer Molek, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan tiga individu berusia lingkungan 22 hingga 31 tahun, termasuk abang kepada pasangan lelaki berkenaan.

Beliau berkata, hasil serbuan pihaknya merampas 85 gram dadah disyaki heroin.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati dua lelaki berkenaan positif dadah jenis morfin, manakala individu perempuan positif dadah jenis methamphetamine.

“Ketiga-tiga mereka direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Menurut Zulkiflee sepanjang 1 hingga 17 Jan 2022, JSJN Melaka telah membuat sebanyak 274 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah di negeri ini.

Tempoh sama itu juga, pihaknya berjaya merampas 775 gram (g) heroin, 2.1 kilogram (kg) ganja, 181.51g syabu, 1.31g ketamin, 12 biji pil ecstasy, tiga biji pil erimin 5, 3.1kg daun ketum dan 35.25 liter air ketum dengan anggaran nilai rampasan hampir RM23,000.

Beliau turut menasihati golongan muda agar berhati-hati memilih pasangan dan kenalan bagi mengelakkan daripada terjerumus ke lembah pengedaran dan penagihan dadah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1988
Kongsi :
Previous post Tahun Baru Cina 2022: Aktiviti makan keluarga, ziarah dibenarkan
Next post Etika pemakaian: Skirt atas lutut tidak dibenar masuk Seri Negeri
Ubah saiz-+=