Sorting by

×

KEKUATAN BAHASA MELAYU TERLETAK PADA JIWA, SEMANGAT PENUTUR

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BUKIT BARU 29 Oktober – Kekuatan sebenar Bahasa Melayu bukan bergantung kepada dasar atau perundangan semata-mata, sebaliknya terletak pada jiwa dan semangat penuturnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rakyat bertanggungjawab memelihara dan memperkasa bahasa kebangsaan dalam setiap urusan termasuk pentadbiran, pendidikan serta kehidupan seharian agar martabatnya kekal tinggi.

“Saya berharap agar usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kebangsaan terus diperkasa di semua peringkat masyarakat, termasuk institusi kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Melaka di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM), di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah.

Hadir sama, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Profesor Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Katanya, Melaka menjadi saksi bahawa Bahasa Melayu sejak sekian lama menjadi nadi pertemuan budaya dan tamadun yang menyatukan bangsa dari segenap pelosok nusantara.

“Dari bumi ini jualah Bahasa Melayu berkembang sebagai wahana ilmu dan diplomasi yang kekal subur sehingga.

“Justeru, penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan bertemakan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ merupakan nadi kepada jati diri dan identiti bangsa yang perlu dipertahankan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post PIALA TUN ALI 2025: TEKONG THAILAND PERKUAT MELAKA TITANS
Next post 80 PERATUS ISU KEBAJIKAN DUN DURIAN TUNGGAL SELESAI