Kelayakan Piala Asia 2022: KBS beri lampu hijau FAM bida jadi tuan rumah

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PETALING JAYA 10 Nov – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapat kebenaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membida sebagai tuan rumah pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 dijadual berlangsung pada Jun 2022.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata badan induk itu amat menghargai ‘lampu hijau’ diberikan KBS, sambil menyatakan penganjuran saingan kelayakan tersebut akan memberi kelebihan kepada skuad kebangsaan apabila dapat beraksi di laman sendiri.

Mengenai pembidaan itu, Mohd Saifuddin berkata FAM perlu menunggu hingga Februari tahun depan berikutan proses bidaan hanya dibuka selepas majlis undian kumpulan saingan kelayakan tersebut.

“Kita kena tunggu sampai Februari selepas kita tahu kita dimasukkan ke kumpulan mana, jadi daripada kumpulan itu baru kita tahu sama ada hanya Malaysia membida atau pun ada negara lain turut membida.

“…dan persiapan fasa kedua yang kita buat sekarang ini adalah mengenal pasti venue, hotel dan padang-padang latihan serta memastikan semua kemudahan itu boleh mengikut SOP (prosedur operasi standard),” katanya ketika ditemui media di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini hari ini.

Sebelum ini, harapan peminat bola sepak untuk menyaksikan Malaysia menjadi satu daripada enam venue pusingan ketiga kelayakan itu dilihat tipis selepas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilapor berkata kerajaan mengutamakan kepada usaha pemulihan ekonomi negara pasca-pandemik COVID-19 berbanding mengeluarkan dana untuk kos penganjuran pusingan kelayakan itu.

Bagaimanapun, Mohd Saifuddin berkata pembidaan itu tidak melibatkan penggunaan dana kerajaan, sebaliknya segala kos akan ditanggung FAM.

“Ia adalah daripada usaha FAM sendiri, pembidaan ini bukan hanya untuk kebaikan pasukan tetapi kalau lihat sekarang ekonomi juga telah dibuka, jadi kalau katakan pelancong datang untuk melihat bola sepak, mereka akan berbelanja di Malaysia dan menaikkan ekonomi kita,” katanya.

Skuad kebangsaan kendalian Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe kini dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas kali terakhir beraksi di kejohanan itu ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007.

Namun, sudah lebih 40 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

691
Kongsi :
Previous post Polis kesan empat lelaki bantu siasatan kes bunuh
Next post PH juga tidak puas hati SOP PRN terlalu ketat
Ubah saiz-+=