Sorting by

×

KEMAJUAN TANAH GTP FASA 1 CAPAI 40 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BEMBAN 6 Februari – Pembangunan German Technology Park (GTP) Fasa 1 kini telah mencapai kemajuan 40 peratus, sekali gus mencerminkan pelaksanaan projek strategik berteknologi tinggi Negeri Melaka berjalan mengikut perancangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemajuan tersebut melibatkan kerja-kerja tanah bagi fasa 1 yang merangkumi kawasan seluas 49.26 hektar.

“Pembangunan fasa satu merangkumi 22 lot tanah perindustrian, 45 unit kilang teres, 64 unit kilang berkembar serta penyediaan asrama pekerja berpusat.

“Pembangunan GTP akan diteruskan ke fasa 2 melalui kerjasama strategik dengan Kumpulan Jakel dan Franky Land Sdn Bhd, melibatkan tambahan kawasan seluas 120.16 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Jualan GTP di Tapak GTP Bemban Daerah Jasin, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Zalina Zainol; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.

Ab Rauf turut menyatakan harapan agar keseluruhan projek GTP dapat disiapkan mengikut tempoh yang dirancang, sekali gus merealisasikan sepenuhnya potensi pembangunannya untuk negeri dan rakyat Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata GTP meliputi keluasan 169.4 hektar merupakan taman perindustrian pertama di Melaka yang diuruskan secara profesional dan dibangunkan khusus untuk menyokong industri berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Antara sektor sasaran termasuk automasi, elektrik dan elektronik, peranti perubatan, teknologi hijau, komponen aeroangkasa serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya.

Dalam majlis sama, turut berlangsung pertukaran dokumen perjanjian antara MCORP dan Teladan Group bagi mempromosi, pemudahcaraan serta pengurusan semua aktiviti berkaitan GTP fasa 1.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post GTP: CERMINAN KOMITMEN MELAKA SEBAGAI HAB INDUSTRI BERTEKNOLOGI TINGGI
Next post GTP: MELAKA MENUJU HAB INDUSTRI STRATEGIK ANTARA JOHOR – KUALA LUMPUR