Kemenangan BN isyarat jelas rakyat mahu kerajaan stabil – Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 20 Nov – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) merupakan satu isyarat jelas daripada rakyat Melaka, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, isyarat itu menunjukkan bahawa rakyat mahukan parti yang menjamin kestabilan politik untuk menerajui negeri ini.

“Syukur Alhamdulillah kemenangan BN dalam PRN Melaka sungguh besar ertinya, untuk membentuk kerajaan negeri sokongan rakyat Melaka amat dihargai oleh BN.

“Ia memperlihatkan perubahan sikap rakyat khususnya pengundi di Melaka yang telah kembali semula menyokong BN.

“Dengan kemenangan ini BN mengiktiraf permintaan rakyat yang mahukan kestabilan politik supaya kembali di negeri Melaka, Insya-Allah kestabilan politik ini kita akan terjemahkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media diadakan di BN Command Centre di Seri Chendana, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau dengan rendah diri memberikan penghargaan kepada semua pihak termasuk di peringkat kepimpinan tertinggi yang sentiasa memberi sokongan kepada parti bagi mencapai kestabilan politik.

“Saya bagi pihak seluruh kepimpinan BN berasa rendah diri dan berterima kasih kepada rakyat Melaka yang telah beri peluang sekali lagi kepada BN.

“Hari ini isyarat yang terus telah diberikan oleh rakyat negeri Melaka, mereka telah mengundi selaras dengan agenda kestabilan politik demi kemakmuran negeri Melaka yang menjadi teras kepada aku janji BN.

“Sesungguhnya BN mendengar isi hati orang-orang Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

723
Kongsi :
Previous post Peratusan keluar mengundi rendah punca PH tewas – Adly
Next post Pemimpin BN mula banjiri Seri Bendahara
Ubah saiz-+=