Kemudahan rakaman video, bukti pengislaman suadara baharu

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KESIDANG 26 Jun – Melaka bakal menjadi negeri pertama di negara ini yang memiliki kemudahan bilik pengislaman dilengkapi dengan peralatan untuk proses rakaman video.

Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad berkata, kemudahan dijangka menelan belanja RM10,000 itu bakal diwujudkan di Kompleks Darul Huda, Balai Islam.

Shaifulfazlee berkata, kemudahan itu amat penting sebagai sumber rujukan pada masa akan datang dan bukan sekadar mengikut perkembangan teknologi semasa semata-mata.

Jelas beliau, selepas ini pihaknya akan merakam video setiap majlis pengislaman dilaksanakan, berbanding hanya rakaman foto sebagai rujukan atau bukti.

“Video berkenaan bukan sahaja menjadi sumber rujukan sebaliknya bukti bahawa pengislaman saudara baharu adalah secara sukarela daripada hati individu itu sendiri, berlangsung tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

“Rakaman ini juga amat berguna jika ada pertikaian mengenai status agama saudara baharu kita terutama apabila membabitkan kematian atau sudah meninggal dunia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, ketika ini MAIM sedang mengenal pasti peralatan yang bersesuaian untuk melancarkan proses rakaman dan menghasilkan video serta audio berkualiti, sekali gus menepati objektif dimahukan.

Katanya, kerja naik taraf itu juga bakal menyediakan bilik pengislaman dengan suasana yang lebih selesa dan kondusif.

“Selepas ini MAIM bakal mempunyai rekod mengenai majlis pengislaman saudara baharu yang lebih tersusun. Kerja naik taraf ini dijangka siap sebelum hujung tahun dan kelak akan menjadi model serta rujukan kepada majlis agama Islam negeri lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

45
Kongsi :
Previous post NTW 2024: 10,000 orang Melaka dapat manfaat
Next post Melaka berjaya turunkan kadar pengangguran
Ubah saiz-+=