Kenaikan harga barang: Melaka mahu pantau kegiatan orang tengah

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PENGKALAN BATU 2 Dis – Kerajaan negeri meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau kegiatan ‘orang tengah’ yang mungkin menjadi punca pada kenaikan harga barangan basah.

Exco Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem berkata, pada masa sama, pihaknya juga akan mencari solusi supaya tiada pihak yang cuba menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan dalam menaikkan harga barang.

“Mungkin kita akan pantau pada orang tengah kerana barang ini dia daripada kilang atau dari petani, lepas itu melalui orang tengah mungkin tiga ke empat orang.

“Jadi setiap orang tengah sudah untung kira-kira RM1, RM2. Jadi sampai di pasar borong mereka sudah jual dengan harga yang tinggi.

“Tapi kita sudah periksa harga datang dan harga jualan mereka agak berpatutan. Jadi bukan masalah penjaja di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memantau harga barang di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), pagi tadi.

NGWE Hee Sem. (FOTO: MR AZLI)

Dalam pada itu, beliau meminta supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjual barangan secara terus kepada peniaga bagi mengelakkan timbulnya isu kenaikan harga.

“Kalau boleh FAMA ambil peranan penting untuk atasi masalah ini, beli banyak lepas tu terus jual kepada Pasar Tani.

“Itu sudah jimat untuk kos orang tengah, kita akan bawa perkara ini kepada kementerian, tengok macam mana. Saya akan jumpa FAMA dalam masa terdekat,” katanya.

Hee Sem turut meminta peniaga ayam di pasar berkenaan untuk menyelaraskan harga jualan seperti di Pasar Alor Gajah dan Jasin.

“Saya ada terima aduan harga ayam mentah di sini agak tinggi sikit, peniaga jual harga RM9.80 sekilogram jadi tadi saya jumpa dia punya tauke, kalau boleh cuba adjust pada RM9.50 sekilogram,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post COVID-19: 73 positif, 451 disaring di Sekolah Seri Puteri
Next post Cadangan insentif tambahan buat petani tangani kenaikan harga baja, racun
Ubah saiz-+=