Kenal pasti lokasi baharu tempatkan peniaga Kampung Jawa – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 19 Mac – Kerajaan Negeri Melaka kini pada peringkat menunggu keputusan pemaju berkaitan persetujuan menyediakan tapak niaga baharu buat peniaga di pusat beli-belah legenda, Kampung Jawa.

Exco Perumahan, Kerajan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, pihaknya pada masa sama mengenal pasti beberapa lokasi baharu termasuk di tanah-tanah milik kerajaan yang masih kosong untuk menempatkan mereka.

Katanya, antara lokasi yang dicadangkan adalah di tapak perniagaan Dataran Pahlawan dan Kampung Morten.

“Kita sudah mengadakan rundingan dengan pihak pemaju sebelum ini di mana mereka perlu memaklumkan persetujuan dengan kita mengenai lokasi untuk menempatkan peniaga ini.

“Cadangan kita ada untuk menempatkan mereka di kawasan Dataran Pahlawan kerana masih ada unit yang masih kosong tetapi peniaga tidak bersetuju lagi berikutan mahu kekal juga di situ berikutan ia ada nostalgia lebih 100 tahun.

“Saya juga ada minta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berurusan dengan sebuah gudang yang mempunyai beberapa unit kosong di Kampung Morten tetapi saya masih belum terima apa-apa maklum balas daripada peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelepasan Misi Bantuan Pasca Banjir Kerajaan Negeri Melaka ke Johor mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di sini hari ini.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan rundingan dengan pihak pemaju telah dilakukan bagi meleraikan konflik peniaga di Kampung Jawa yang menjadi kawasan ‘legenda’ beli-belah popular lebih 100 tahun itu akan ditutup pada 31 Mei ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1393
Kongsi :
Previous post JPN Melaka sasar tiga golongan utama dalam MEKAR
Next post APM terima hampir RM60 juta bagi perolehan aset
Ubah saiz-+=