Keputusan henti salur air kepada Pulau Pinang bidang kuasa Perak

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

MUAR, 4 Mac – Keputusan kerajaan Perak untuk tidak meneruskan bekalan air mentah kepada Pulau Pinang dibuat atas kapasiti bidang kuasa negeri berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hal itu disebabkan sumber air terletak di bawah urusan kerajaan negeri masing-masing, selain Perak juga telah menjelaskan berhubung keputusan itu.

“Menjelang 2035 dijangka dia (Perak) akan dapat lebih kurang tiga juta rakyat dan oleh itu dia melihat keperluan dalam negeri yang perlu diutamakan dulu,” katanya selepas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram malam tadi.

Menurut Tuan Ibrahim, rundingan telah dibuat dan kerajaan Perak memaklumkan yang negeri itu memerlukan Loji Rawatan Air (LRA) yang besar di utara Perak.

Beliau berkata perjumpaan bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah diadakan bagi membincangkan tentang sumber bekalan air.

Beliau berkata Pulau Pinang mempunyai rizab simpanan air tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 30 peratus rizab margin berbanding negeri lain.

Tuan Ibrahim berkata terdapat alternatif lain yang boleh dilaksanakan Pulau Pinang, antaranya melakukan penerokaan baharu termasuk sumber air bawah tanah.

Semalam, Perak memuktamadkan tidak mampu membekalkan air mentah dari Sungai Perak seperti yang dicadangkan di bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang, kerana kajian menunjukkan kegunaan air bagi negeri itu tidak mencukupi sepenuhnya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

751
Kongsi :
Previous post 26.8 peratus kanak-kanak terima vaksin COVID-19
Next post Sukarelawan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia edar bantuan mangsa banjir
Ubah saiz-+=