Kerajaan benarkan RTM siar poster dan biodata calon bertanding PRN Melaka mulai esok

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

ALOR GAJAH 13 Nov – Kerajaan membenarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula esok.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata penyiaran poster dan biodata calon itu akan dialu-alukan sekerap mungkin, adil dan saksama berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada PRN berkenaan.

“Mengambil kira kesulitan kempen dan pengundi yang kurang mengenali calon-calon yang bertanding di kawasan masing-masing, maka kita (kerajaan) bersetuju supaya RTM menambah kekerapan menyiarkan biodata-biodata dan potret-potret calon yang bertanding mulai esok,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Annuar berkata kerajaan juga meminta agar RTM merangka slot masa bersesuaian untuk menyiarkan bahan kempen itu tanpa mengganggu program yang dirangka agensi berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata RTM telah diarahkan untuk menghubungi setiap calon bagi membekalkan bahan berkempen namun dengan syarat ia tidak boleh menimbulkan sebarang polemik ataupun kontroversi.

“Jadi RTM sedang buat persiapan termasuk (penyiaran) ketika waktu perdana supaya usaha untuk memperkenalkan calon yang bertanding secara adil dan saksama akan boleh dilakukan mulai esok hingga Jumaat iaitu sehari sebelum mengundi.

“Saya harap ada ruang yang cukup untuk membolehkan usaha itu dilakukan,” katanya.

Rabu lepas, Annuar dilaporkan berkata kerajaan bersedia menimbang untuk memberi ruang kepada calon PRN Melaka termasuk daripada pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan berikutan kesukaran dialami semua parti politik terutama calon baharu untuk berkempen dalam suasana norma baharu.

Sementara itu, Annuar berkata mana-mana calon terutama di kawasan luar bandar yang mengalami gangguan jalur lebar ketika berkempen di dalam media sosial, boleh memanjangkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kalau ada tempat yang mengalami masalah sedemikian kita ada pasukan yang boleh ‘boost coverage’ (lonjakkan liputan) di sesuatu kawasan. Sebelum PRN kita dah buat semakan dan talian okey.

Tapi bila ramai orang guna kemungkinan ada ‘experience’ (mengalami) dari segi capaian yang rendah. Tapi kalau ada kawasan yang ekstrem sebegitu mereka boleh maklumkan. SKMM on standby (dalam tunggu sedia) dan syarikat telekomunikasi telah diminta untuk memberikan kerjasama untuk memasang booster (penggalak) untuk meningkatkan kelajuan internet,” katanya.-BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post PRN Melaka perlu fokus isu rakyat – Akmal
Next post ‘Dulu tempa nama dengan BN, sekarang menghina’ – Ahmad Zahid
Ubah saiz-+=