Sorting by

×

Kerajaan, pembangkang muktamad MoU landskap politik baharu esok

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) hari ini setuju memuktamadkan sebuah memorandum persefahaman untuk mengembalikan kestabilan politik negara bagi menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara menerusi pendekatan kerjasama secara ‘dwipartisan’, memetik laporan Berita Harian.

Dengan persefahaman ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan oleh kedua-dua pihak kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif-inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tatakelola pentadbiran kerajaan, khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Menerusi kenyataan bersama wakil kerajaan dan PH yang dikeluarkan malam ini, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik itu akan ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua parti dalam PH di Dewan Bankuet, Parlimen pada jam 5 petang, esok.

Ketua parti PH adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

“Selepas mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil kerajaan dan PH hari ini memuktamadkan sebuah memorandum antara kerajaan Persekutuan dan PH,” kata kenyataan itu.

Mengikut kenyataan itu, wakil kerajaan yang menyertai rundingan berkenaan adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Wakil PH pula adalah Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1219
Kongsi :
Previous post Prospek pemulihan ekonomi Malaysia semakin cerah – PM
Next post Angka kematian harian COVID-19 kembali dua angka
Ubah saiz-+=