Kerajaan umum 4 Strategi Pelan Pemulihan Negara

Masa Membaca:2 Minit, 45 Saat

PUTRAJAYA 15 Jun – Kerajaan mengumumkan empat Strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) membabitkan beberapa fasa peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berperingkat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu bersandarkan kepada tiga indikator utama yang perlu diberi perhatian sebelum beralih kepada beberapa fasa terbabit.

Jelasnya, indikator itu membabitkan keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian; keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Pada Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP menyeluruh yang sedang dilaksanakan kini dalam keadaan bilangan kes COVID-19 tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi masih rendah.

“Kerajaan akan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua PKP setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, seterusnya sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

“Fasa Kedua adalah kesinambungan daripada Fasa Pertama dengan aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat dan aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

“Malah, pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup selain senarai positif daripada Fasa Satu akan juga diperluaskan semasa Fasa Kedua dengan menambahkan beberapa sektor dan aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perutusan khas Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, penambahan sektor senarai positif semasa Fasa Kedua termasuk aktiviti pembuatan serta peruncitan, namun perkhidmatan tidak disenaraikan seperti pembuatan tekstil dan kedai perabot kekal tidak dibenar beroperasi.

Beliau berkata, Fasa Ketiga pula melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif iaitu semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19 perlu ditutup.

“Peralihan Fasa Ketiga akan dibenarkan sekiranya purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 2,000 kes sehari dengan sistem kesihatan awam berada di tahap selesa, termasuk penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi selain 40 peratus populasi negara telah menerima dua dos suntikan vaksin. Ini dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos ini.

“Pada fasa ini, semua sektor ekonomi masih dibenarkan 80 peratus beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi melibatkan keramaian dan aktiviti sosial termasuk pendidikan dan sukan tertentu boleh mula dibuka secara berperingkat termasuk persidangan Parlimen,” katanya.

Menurut Muhyiddin, pelaksanaan Fasa Keempat atau terakhir Pelan Pemulihan Negara yang dijangka pada Oktober dengan semua sektor ekonomi dibuka, lebih banyak aktiviti sosial dan perjalanan rentas negeri dibenarkan termasuk pelancongan domestik yang tertakluk kepada SOP ketat.

Katanya, fasa itu boleh dilaksanakan apabila bilangan kes COVID-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok selewatnya pada akhir tahun ini.

“Malah fasa ini akan dilaksanakan sekiranya kita berjaya mencapai nilai ambang purata kes harian COVID-19 menurun ke paras bawah 500 kes baharu sehari, sistem kesihatan awam berada di paras selamat termasuk kadar penggunaan katil di ICU di paras mencukupi dan 60 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

935
Kongsi :
Previous post Parlimen dijangka bersidang September atau Oktober ini
Next post Beri vaksin COVID-19 dahulu, daftar kemudian- Dr Mahathir
Ubah saiz-+=