Sorting by

×

Kerap sakit kaki petanda remaja hidap kanser tahap empat

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DUYONG 14 Ogos – Siapa sangka kerap sakit pada kaki menjadi petanda seorang remaja menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Tatkala rakan-rakan seusianya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, Mohd Amirul Ridhuan, 17, pula terpaksa bertarung dengan kesakitan setiap hari berikutan kanser berkenaan telah merebak hingga ke tulang.

Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu itu kini terlantar dan hanya bergantung harap kepada kerusi roda selain kerap tidak dapat hadir ke sekolah seperti pelajar lain.

Ibunya, Siti Norlina Mohd Rashid, 36, berkata, penyakit anaknya itu hanya diketahui pertengahan tahun lalu kerana kerap mengadu sakit pada kaki.

Katanya, disebabkan sel kanser itu semakin merebak, anak sulung daripada lima beradik itu perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan lutut kaki kirinya rosak dan berpotensi lumpuh.

“Saya sedih mengenangkan keadaan anak saya yang kerap mengerang kesakitan.

“Rupa-rupanya, sel kanser itu telah merebak hingga ke tulang kaki kiri dan ia menyebabkan anak saya tidak boleh berjalan sekali gus menyukarkannya untuk ke sekolah.

“Malah, disebabkan penyakitnya semakin serius, kami juga kerap berulang-alik ke Hospital Melaka untuk membolehkannya mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Padang Semabok, di sini.

Derita yang dialami Mohd Amirul turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang melawat keluarga itu.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba membantu mendapatkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meringankan beban keluarga itu.

“Saya akan meminta bantuan JKM datang sekali lagi ke rumah keluarga ini bagi mempertimbangkan bantuan berbentuk bulanan dan bukannya sekadar one-off agar dapat meringankan beban keluarga ini yang diuji dengan anak yang sakit,” katanya.

Kepada orang ramai yang ingin membantu meringankan derita Mohd Amirul, bolehlah menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank ibunya, Siti Norlina Mohd Rashid 154138061639.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3044
Kongsi :
Previous post Gol minit akhir jadi ‘badi’ Melaka United
Next post Kelekaan ragut kemenangan Melaka United
Ubah saiz-+=