Sorting by

×

Kes basikal lajak: 11 Mei pengurusan kes bagi rayuan kerani wanita

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR, 26 April – Rayuan kerani wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lepas, ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 11 Mei ini.

Peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam Ke Ting memaklumkan tarikh pengurusan kes itu ketika dihubungi hari ini.

Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron yang akan berlangsung melalui sidang video.

Pada 18 April lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Sam, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di mahkamah berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk P. Ravinthran bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan Sam untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Okt tahun lepas, yang melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

877
Kongsi :
Previous post Mashaf Al-Quran Braille bantu OKU penglihatan baca kita suci
Next post Tular Aidilfitri 2 Mei tidak sahih
Ubah saiz-+=