kes COVID-19 kian menurun, 4,626 kes direkod hari ini – KP Kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Jumlah kes harian COVID-19 terus menunjukkan penurunan dengan 4,626 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, berbanding 4,979 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terkini itu menjadikan kumulatif kes baharu kini 2,476,268.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu hari ini, hanya 94 kes atau dua peratus melibatkan kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 4,532 kes atau 98 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada jumlah kes baharu itu, enam kes adalah kes import manakala 4,620 kes melibatkan penularan tempatan,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi kes sembuh, sebanyak 5,299 kes dilaporkan, mengatasi kes baharu dan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 kini 2,380,060.

Menurut kenyataan itu, terdapat 569 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 301 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti membabitkan tiga kluster tempat kerja, masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

Ketua Pengarah itu memaklumkan kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara semalam pula ialah 0.95 dengan Kuala Lumpur mencatat kadar Rt tertinggi iaitu 1.02 manakala Labuan kekal satu-satunya kawasan mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post Banjir kilat landa beberapa kawasan di Melaka
Next post Patuh SOP dalam kemeriahan Deepavali- PM
Ubah saiz-+=