Kes meningkat punca CAC MITC sesak

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 7 Feb – Peningkatan kes COVID-19 di Melaka khususnya di daerah Melaka Tengah menjadi antara punca Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sesak, kata EXCO Kesihatan Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh.

Meskipun begitu, jelasnya, kesesakan itu tidak menimbulkan sebarang masalah memandangkan proses penilaian secara pandu lalu yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah berjalan lancar.

“Memang ada peningkatan kes kerana mereka yang datang ke CAC adalah mereka yang positif COVID-19 dan perlu melalui penilaian sama ada akan dimasukkan ke hospital, PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19) atau kuarantin di rumah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bagaimanapun Muhamad Akmal memaklumkan kesesakan itu boleh diatasi sekiranya mereka yang positif tidak hanya tertumpu di CAC MITC sahaja.

Ini kerana, jelasnya, terdapat enam lagi CAC di Melaka Tengah yang boleh menjalankan penilaian kesihatan membabitkan pesakit.

“Keseluruhan di Melaka Tengah ada tujuh CAC, tetapi kadang-kadang mereka (pesakit) lebih selesa terus ke MITC berbanding CAC di enam lagi klinik kesihatan yang disediakan.

“Jadi, untuk penilaian pesakit juga sebenarnya boleh ke CAC Klinik Kesihatan Peringgit, CAC Klinik Kesihatan Tengkera, CAC Klinik Kesihatan Ayer Keroh, CAC Klinik Kesihatan Ayer Molek, CAC Klinik Kesihatan Seri Tanjung atau CAC Klinik Kesihatan Batu Berendam.

“Di Jasin pula masih kekal dengan satu CAC iaitu di Klinik Desa Kesang Tua, manakala di Alor Gajah juga satu CAC iaitu di Klinik Desa Melekek,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1352
Kongsi :
Previous post Rayuan Khairy berhubung saman fitnah Anwar terhadapnya ditolak
Next post PICKids Melaka bermula Rabu ini
Ubah saiz-+=