Ketua dan ahli kumpulan ‘Adik Mat’ mati ditembak

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KOTA BHARU, 28 Dis – Polis menembak mati ketua kumpulan jenayah dikenali sebagai kumpulan “Adik Mat” dan seorang ahli kumpulan itu dalam satu serbuan di pondok dua tingkat di kawasan hutan Kampung Batu Papan, Gua Musang, kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata kedua-dua lelaki berumur 29 dan 36 tahun dari Gua Musang yang mendalangi kejadian samun bersenjata api, ugutan jenayah serta mengedar dadah, dan aktif melakukan kegiatan jenayah sejak tahun 2018 itu, mati di lokasi kejadian selepas berbalas tembakan dengan polis.

Beliau berkata polis turut menemui dua pucuk pistol jenama LLama semi auto dan revolver selain 41 peluru hidup, tujuh biji kelongsong peluru dan 1,200 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM12,000 dalam serbuan itu.

“Bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Khas Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan dan bantuan dari anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

“Selepas menyedari kehadiran pihak polis, kedua-dua suspek melepaskan beberapa das tembakan kearah pasukan serbuan, dalam situasi membalas tembakan dan mempertahankan diri, pasukan serbuan membalas tembakan yang menyebabkan kedua-dua mereka rebah dan mati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Shafien berkata kedua-dua penjenayah ini biasanya menggunakan senjata api untuk kegiatan menyamun serta mengugut dengan melepaskan tembakan ke udara.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ‘Adik Mat’ ini pihak polis percaya telah dapat menyelesaikan lima hingga lapan kes jenayah samun di negeri ini dengan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya dan menambah polis sedang memburu beberapa lagi ahli kumpulan ini yang masih bebas.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati suspek berusia 29 tahun yang juga ketua kumpulan berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau sebanyak tiga kes jenayah samun dan pukul selain sembilan kes dadah, manakala seorang lagi suspek mempunyai empat rekod lampau kes dadah.

Shafien berkata kes sedang disiasat mengikut seksyen 307 Kanun Keseksaan, 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971,8 (A) Akta Senjata Api 1960. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1098
Kongsi :
Previous post Pandu mabuk, seorang mati, penyelia mengaku tidak bersalah
Next post Banjir: GMM prihatin bantu bersihkan kediaman mangsa
Ubah saiz-+=