Ketua Menteri sementara : Zahid minta pengundi tidak termakan fitnah

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

MELAKA 17 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan kononnya Datuk Seri Sulaiman Md Ali hanya akan menjadi Ketua Menteri Melaka sementara sekiranya gabungan parti itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Dalam catatan di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta pengundi agar tidak termakan dan terpengaruh dengan fitnah yang dilontarkan pihak tertentu.

“Kepada pengundi dan rakyat Melaka, jangan dengar! Jangan termakan dengan fitnah.

“Mana ada ketua menteri sementara sementara, ini bukan cerita main-main! Ini bukan cerita ketua kampung setengah penggal,” katanya.

Sulaiman dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk membentuk kerajaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini (20 Nov).

Mengumumkan perkara itu, Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka Datuk Seri Mohamad Hasan, Sulaiman dilihat sebagai pemimpin yang disenangi rakyat Melaka selain bebas daripada sebarang isu.

Pakatan Harapan (PH) pula menamakan Adly Zahari yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil manakala Perikatan Nasional (PN) sehingga kini tidak menamakan sesiapa bagi jawatan berkenaan.

Sulaiman, yang juga penyandang di kerusi DUN Lendu ditentang Mejar (B) Abdullah Mahadi daripada (PN) dan Mohamad Asri Ibrahim (PH).

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Sulaiman.

SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

579
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: MCA harap dapat sumbang kerusi untuk BN
Next post Jenazah Kapten Mohamad Affendi dibawa pulang ke Muadzam Shah
Ubah saiz-+=